Wednesday, July 31, 2013

Indahnya bahasa


Gerakannya terus menuju niat dihati. Dia berhenti. Berdiri seseorang dihadapannya. Berlainan sedikit dari susuk tubuhnya dan juga kulitnya. Dia mendongak. Hamba itu seakan berkata sesuatu. Bahasanya sangat indah. Tapi tidak difahami. Kenapa ?

"Kau Islam kan. Mesti faham Bahasa Arab"

Tunduk. Malu.

Orang Cina hebat berbahasa cina.
Orang India hebat berbahasa india.
Orang Melayu hebat berbahasa melayu.

Bahasa Arab ?

Sungguh,jiwa ini tersentap. Menghina kekurangan diri. Sentapan yang meragut jiwa. Bahasa indah itu tidak difahami. Sungguh diri ini hina. Sedangkan Islam masih dijiwa,tapi tidak sempurna. Sibuk mempelajari bahasa yang sia-2 sedangkan bahasa syurga tidak.

Menangis. Bukan lemah tapi mengenangkan kebodohan diri.

Jiwanya tidak tenang.
Fikirannya berfikir.
Hatinya terdetik.

Hina terasa.

"Adakah Islam itu hanya pada nama ?"

Tepuk dada. Dia melewati sahabat itu yang tersenyum berkata. Melangkah pergi. Sungguh,tatkala itu dia melarakan hatinya. Sekejap pandangannya memandang ke bumi,terkadang mengalihkan pandangannya ke langit yang meluas pula.

"Adakah pilihan aku dahulu menjadikan aku begini ?"

Dia tertanya. Dahulu dia telah diberikan peluang namun dipersiakan. Pilihannya salah. Entah. Hatinya tertanya tanya. Hati cuba untuk menidakkan. Dia tahu Pencipta telah menentukan segalanya. Ada hikmahnya,ada nikmatnya.

Selesai menelaah bacaannya itu,dia pergi mendekati sahabat itu. Ingin menegurnya. Ingin memohon maaf atas kesombongannya. Lantas,senyuman terukir. Kalam bicara pun bermula. Itulah mawadahnya. Walau tidak sebegitu indah,namun bermanfaat.

Kalau aku jatuh,angkatlah aku.
Kalau aku leka,ingatkanlah aku.

Dalam menawan ketinggian gunung itu,dapat dilihatkan keindahan alam. Indah. Walau penat terasa. Jauh. Hendak ke kemuncak. Ditemani pula keindahan,ditemani juga ujian. Ada sesuatu yang dipelajari. Pengalaman.

Tidak salah mempelajari sesuatu. Cuba,itulah yang termampu. Masih cuba memperbaiki diri.

Monday, July 29, 2013

Ingat,itu suatu kewajipan.


Pandangannya terus menyelinap di setiap penjuru. Seakan curiga kelakuannya. Dia melihat seseorang dan terus melangkah pergi. Dia ingin menegur dan bertanya kepada orang itu tapi tidak hebat. Dia tidak mempunyai kehebatan untuk melakukan sedemikian. Lemah.

"Aku sibuk lah. Tak sempat nak buat."

Begitulah kalam yang dikatakan. Tidak. Itu bukanlah alasan yang dicari. Itu bukanlah jawapan yang diperlukan.

Sibuk sehingga lupa kewajipan.
Sibuk sehingga lupa Pencipta.
Sibuk sehingga lupa syurga dan neraka.

"Sibuk dengan dunia sedangkan akhirat tidak terjaga ?"

Tidak. Kalau kesibukan dunia menjadikan kau lupa menunaikan kewajipan,itu bukanlah alasannya. Besar sangat kah tanggungjawab yang kau pikul sedangkan tanggungjawab kau sebagai seorang hamba dilupakan. Sungguh hina.

Madah pujangga mengatakan hina. Tidak menjaga hubungan sesama Pencipta. Aku tidaklah semulia tapi masih lagi berkatakan seiya. Jangan kau endah. Jangan kau abai. Aku hanya hamba yang hadir untuk memperingatkan. Mungkin aku hina,tapi itulah kewajipan aku sebagai saudara.

Dunia,sangat indah.
Duit,sangat sempurna.

Tapi kau lupa.

Syurga itu lagi indah.
Pahala itu yang sempurna.

Tunduklah kepada Pencipta. Ajal tidak menunggu taubatmu. Bersegeralah. Bersentiasalah. Hanya lima kali sehari. Tidak sukar,tidak susah. Hanya lima minit setiap satunya jika dibandingkan dengan duniawi yang kau cari yang sementara.

Teguran itu sayang.
Nasihat itu mesti.
Peringatan itu perlu.

Doa selepas itu. Mungkin aku hanyalah biasa untuk menegur. Aku tidak sehebat mana. Jika nak dibandingkan pangkat,kau lagi hebat dari aku. Tapi harus kau ingat,ada lagi hebat.

"Biar kita miskin,biar kita dihina,biar kita sibuk,biar kita dimana,solat tetap menjadi kewajipan"

Riak wajah bukanlah segala. Keperitan hati tidak terkata. Biar. Hanya senyum tanda setia. Kini aku dibawah,kau di atas. Suatu hari ia bertukar.

Setiap saat nafas mengalir disetiap celahan. Menantikan tibanya suatu yang dicari sekalian.Sudahkah kelewatan. Entah. Pastinya,manfaat itu digunakan seadanya. Langkah itu berdikrimasi. Bermeditasi.

Jangan kau tangiskan masa lalu. Melangkah ke hadapan,mulakan hidup baru.

Hijrah.

Thursday, July 25, 2013

Tak salah kan bertanya


Saat itu dia hanya menyampaikan. Sesuatu yang dalam dirinya. Bukan luahan hati tapi sesuatu yang hanya dipinjam untuk sementara. Tidak begitu hebat sedangkan ada yang Maha Hebat. Niat hanya untuk menyampaikan. Terdiam kaku tubuhnya merenung masa yang kejam meninggalkannya.

"Aku nak tanya sikit ni boleh tak ?"

Hanya mengangguk dan tersenyum. Soalan demi soalan diajukan. Sampai tika dia terdiam. Seperti yang dikatakan,tidak begitu hebat. Singgah di telinganya soalan yang mencucuk jiwa kelamnya. Dia terdiam.

Aku tidak hebat,hanya insan.
Aku tidak sempurna,hanya insan.
Aku tidak kuat,hanya insan.

Perkataan yang berasal dari lupa. Itulah insan. Dan itulah aku.

"Aku bukanlah Saidina Ali,aku bukanlah gedung ilmu. Aku juga serba kekurangan"

Dia tersenyum. Sahabatnya tahu kehebatannya. Hendak menyangkal tapi itulah hakikatnya. Bukan berbangga memiliki,tapi merendah diri untuk pelajari. Sesuatu yang sukar dimiliki. Harus dikongsi.

Ilmu itu pinjaman Pencipta.
Ilmu itu pinjaman sementara.
Ilmu itu pinjaman untuk kita.

"Kenapa takut hendak berkongsi ?"

Kering air sungai. Jalan gelap di hadapan. Tapi,aliran deras air berbunyi sedangkan tiada di situ. Mencari dalam kegelapan. Tidak disangka,terjatuh ke dalam lembah. Berdiri,tidak terapung. Basah,tidak berair.

Lancang sungguh kau berkata. Melafazkan kalam itu. Berkata tanpa henti. Kenapa ? Yakin. Sesuatu yang dia punyai. Walaupun sukar dipercayai tingkah laku sebegitu.

Bukan hendak menakutkan,tapi itulah peringatan.
Bukan hendak merendahkan,tapi itulah nasihat.
Bukan hendak memalukan,tapi itulah teguran.

Gelaran itu tidak selayaknya. Akhlak yang tidak sempurna. Masih lagi tiada. Masih lagi dalam langkahnya. Tidak.

Itulah ujian baginya. Meninggikan dia di dunia sedangkan masih dibawah langit. Dia terduduk. Menfaktorkan soalan yang masih menjadi halwa telinga nya. Dia menyalahkan dirinya. Soalan yang menjadi tikaman kepada dirinya.

Dalam dia terkapai mencari langkah,ada yang cuba menariknya lemas. Tatkala itu,didatangkan pula seorang yang jauhari. Bukan menolongnya,tapi sebagai pendampingnya.

"Kau jatuh,bangkitlah. Pencipta menanti. Sudah terbentang luasa di hadapan kau. Pilihlah yang terbaik"

Kau miliki sesuatu yang tidak aku. Aku miliki sesuatu yang tidak kau.

"Tak salah kan berkongsi ?" -Zulkarnain

Monday, July 22, 2013

Secebis picisan


Tika itu bersuara. Tidak berkata. Menjadi pendengar yang setia. Itulah caranya. Memandang dengan dua mata,sayu. Wajah itu,dia tahu. Kerutan dahinya,renungan matanya,keikhlasan kata-2. Sakit.

"Luahkanlah,aku mendengarnya kawan"

Dia membuka bicara. Pada mulanya seolah tidak percaya. Dia yang kelihatan ceria sentiasa, berdepan dengan seorang adam yang memberinya yang tidak. Aku hanya mendengar rintihannya. Itu yang mampu. Kongsikan.

Apa kurangnya aku ?
Apa lebihnya dia ?

Entah. Soalan dia. Aku tidak mengerti. Dia memulakan ceritanya. Aku setia berdiri disitu. Memberikan sebarang tindak balas yang positif. Insan yang lemah. Tidak. Dia insan yang hebat kerana diberi ujian begitu. Tapi,adakah ini benar ?

Hadirnya seperti ujian yang lalu. Aku sedar. Sama. Kenapa ? Peluang Pencipta untuk membetulkan segalanya. Mungkin. Hanya mengikut rentak yang dimainkan.

Kau seorang yang kuat kawan.
Kau seorang yang tabah kawan.
Kau seorang yang hebat kawan.

Aku mengerti keperitan kau. Riak wajah kau yang memerlukan pertolongan. Aku bukanlah hebat,tapi mungkin ini takdir mempertemukan. Tidak berkuasa hendak menolong malah tidak terdaya hendak menyambut. Hanya membiarkan.

"Kenapa nasib aku selalu begini ?"

Dia merintih mempersoalkan takdir Pencipta. Aku menghalang. Tidak kawan. Itu ujian Pencipta. Jangan kau kesalkan perkara yang berlalu. Tinggalkan. Ambil langkah baru. Dunia berputar,takkan kau mahu berdiri sahaja.

Corakkan langkah.
Perbaharui langkah.
Mulakan langkah.

"Pencipta menguji tanda Dia ingat,Pencipta melihat kehebatan kita yang sentiasa memerlukan Dia"

Sabarlah kawan. Dalam duka pasti ada sinar. Jangan kau persoalkan rancangan Dia. Dia tahu yang terbaik. Belum masanya. Senyum,itulah penawarnya. Ikutlah seruan kebenaran,jangan terleka dengan penipuan kata-2 manusia. Kau ada sesuatu yang luar biasa. Doa. Itulah yang kau miliki. Gunakan,manfaatkan dan lakukan.

Dia menceritakan segalanya. Seolah tiada lagi hari esok.

Aku tidak sempurna untuk menasihat.
Aku tidak hebat untuk mengingat.
Aku tidak berpengalaman untuk berkongsi.

Telinga anugerah sang Pencipta ini yang aku miliki. Kau percaya. Jangan kau risau,jiwa kepingan untuk kau telah tersedia. Kenapa hendak berduka,kenapa hendak mengeluh sedangkan Pencipta telah menyediakan langit dan bumi. Apa lagi yang kau mahukan ?

Kalau kau mengeluh kerna kesilapan lalu,aku juga terasa. Aku dahulu pernah hina. Kita sama kawan. Memerlukan dan mencari keredhaan. Kebenaran telah dimiliki. Ayuh. Kau pelengkap. Meditasi diri yang serangkai. Marilah.

"Basahkan wajahmu. Bentangkan tikarmu. Sujudkan tubuhmu. Tadahkan tanganmu." 

Saat itu kau jatuh,lakukan. Berhadapan dengan kebenaran,bertarbiyah dengan keinsafan. Jangan kau tangiskan.

"Kau tahu ?

Senyum"- SAA

Kalam hina


Kalam pujangga yang hina
Setiap satunya
Bukan biasa
Ada yang setia.

Luka biasa
Tapi kenapa kali ini tidak
Salah aku ?
Ah !
Bukan !

Kenapa tidak
Memancah ke langit
Merakus  jiwa
Begitulah yang sebenar.
Masih terawang awangan.

Jauh tatkala jiwa meruntuh
Menantikan ketidakbiasaan.
Rindu Pencipta menyeru hamba
Ya,
Setia menanti
Kerna rawatan.
Itulah penawar.

Tidak kau mungkiri.
Aku yang salah
Bukan mudah mengakui
Dia telah mencuba
Merendahkan ego dirinya
Sedang hatinya bercinta
Dengan sang duka.

Itulah ujian
Itulah hikmah.
Itulah peringatan.

Serungkai kata
Manis kalam bicara
Senyuman sinis,terdiam
Ada kesulitan tersembunyi.
Madah yang hilang.
Senyap yang pasti
Duka yang hadir
Perit yang pergi.

Bukan kerna kau begini
Suratan 
Cuba membangkit
Bangun dari lenanya.
Mengambil wudhuk
Menghadap kebenaran
Merendahkan tubuh
Mengingati Pencipta.
Tangisan keseduan tatkala itu.
Menadah tangan dan bersujud.
Terkumat kamit berkata.

Itukah kau ?
Hanya ingat Pencipta bila susah ?
Tunduk


Rahsia yang tersembunyi,siapa tahu.


Kini sisa hidupnya. Tidak mengeluh. Tahu akan apa yang dia lakukan. Itu yang terbaik atau memang suratan yang tertulis. Tidak gembira dan tidak juga berduka. Berdiam lebih mulia. Senyuman di wajahnya. Alhamdulillah.

"Apa kau masih berfikir?"

Bisikan yang terdetik dalam hatinya seolah bertanyakan sesuatu. Keputusan. Sukar untuk dilakukan. Kenapa mesti ada pilihan. Jiwa meronta kesakitan.

"Apa benar yang aku pilih?"

Kalau salah,tunjukkanlah yang benar.
Kalau silap,tunjukkanlah yang betul.
Kalau batil,tunjukkanlah yang hak.

Mampukah pilihan ini membahagiakan semua ?
Mampukah pilihan ini membahagiakan bonda dan ayahanda ?
Mampukah pilihan ini membahagiakan dia ?

Pandangan jauh kehadapan. Pemikiran mula merencana. Tidak. Aku tahu mana yang terbaik. Aku tahu kemampuan aku. Biarlah mereka mengata. Itu hak mereka,kemampuan mereka untuk menduga setiap yang bernyawa. Membisikkan ke telinga tentang tidak benarnya sesuatu.

"Kalau pilihan itu salah,pasti ada hikmahnya. Kalau pilihan itu betul,pasti ada ujiannya pula. Jangan terlalu gembira"

Entah. Hati ini merahsiakan sesuatu. Saat pujangga bertanya,tidak terjawab. Sia-2. Adakah ini permainan syaitan durjana atau ujian Pencipta. Perjalanan yang menentukan masa hadapan. Langkah yang menyempurnakan kehidupan.

Ini pilihan aku. Janganlah menghina. Dan jangan bertanya kenapa. Aku tahu. Dia tahu. Ini yang terbaik untuk aku dari Pencipta.

Jangan kau dengar cacian mereka.
Jangan kau pertimbang cemuhan mereka.
Jangan kau pandang ejekan mereka.

Seruan tiba menandakan bermula. Hilang. Kerna rendahnya pujangga menghadap Pencipta. Khilaf yang nyata masih berada,di jiwa yang kosong. Hanya bunyi yang melintas. Rasukan jiwa seakan biasa didengarnya sedangkan itulah petunjuk agar redha di jiwa.

Ya,aku dahulu terhina ini yang kau agungkan sedang aku tidak meminta. Cukuplah. Manusia bisa ceria kadangkala duka disulami. Tidak berada di sana senantiasa. Cubalah yang tiada,itulah pengalaman baru.

Kenapa ?

Pencipta ketahui segala isi langit dan bumi,inikan hati insan yang kerdil.

Thursday, July 18, 2013

Pelengkap


Diamnya bukan kerana lemah dalam bicara tapi kerna ingin mendapatkan buah fikiran. Termenungnya di malam itu. Sungguh terleka. Adakah kesilapan yang telah dia lakukan ? Masih tercari cari kebenarannya. Duduk termangu di situ.

"Aku ni kawan kau,wajib aku menegur kau"

Sedang mereka seronok bersama. Ada yang kesedihan. Hati yang sedih melihatkan permintaan nafsu mereka yang dipenuhi kehendak tubuh badan. Iman mereka lemah.

Mereka berduaan.
Mereka berkasih.
Mereka bersentuhan.

Tanpa sebarang pertalian. Sedih. Cuba untuk perkatakan perkara yang benar. Tapi dalam menegakkan kebenaran diselangi dengan ujian yang menguatkan. Sungguh lemah. Hujah yang masih tidak berhikmah membuatkan diri dia terdiam dalam gelodak ketegangan. Bukan. Dia cuma tidak mahu menjadi keruh keadaan.

Inilah nasihat,kawan.
Inilah peringatan,kawan.
Inilah seruan,kawan.

Peringatan telah disampaikan. Kata sahabat,selepas berperang dengan kata-2,berdoalah agar dibuka pintu hati mereka. Tapi kenapa perlu aku berasa sedih ? Soalan yang tertusuk terus ke ruang kecil mindanya.

Kasihan,mereka tidak peduli.
Kasihan,mereka tidak mengerti.
Kasihan,mereka tidak ketahui.

Kesilapan lalu benar mengujinya. Kesilapan lalu menjadikan dirinya masih dipandang hina. Hijrahnya masih belum sempurna tapi kau dah menghina. Layakkah engkau ?

Pujangga yang hina masih setia dengan rakyatnya. Cuma terkadang terlebih katanya. Sudah terbiasa. Tapi bisa diubah tatkala iman menjetik ulu hatinya. Diam seketika. Senyum melukis.

Pedang yang dibawanya dahulu masih berada disitu. Pernah diluahkan dari sarungnya. Cuba untuk menentukan nasibnya. Dengan izin Pencipta. Pujangga memperluaskan bicaranya. Lancang sungguh kata-2. Mereka mendengar. Tapi tidak seperti dahulu. Masih mencari kehebatan dahulu. Suatu hari.

"Kalau kau rasa kau berdiri untuk menegakkan kebenaran,maka teruslah kau berdiri. Jika kau rasa kau tersilap,maka tundukkanlah pandangan dan terimalah teguran"

Alhamdulillah masih kuat genggaman erat. Walau tewas tapi puas.

Doa sebagai senjata.
Pencipta Maha Mendengar.
Sabar.

Manusia tidak berubah serta merta. Sabar. Ada masanya. Hidayah milik Pencipta. Hanya mampu menadah tangan. Datang seorang hamba menghampiri kesedihannya. Dia mendongak dan tersenyum. Itulah sahabatnya. Itulah teman seperjuangannya. Tangan dihulur,harapan menyambut.

"Jom ! Tugas kita belum selesai "

Lembut kata-2 sahabatnya. Dia kembali tenang memikul pedang yang terpaku dibahunya. Berlalulah sang pujangga meninggalkan tempat teduhannya itu seraya melapangkan tangannya ke bahu sahabatnya. Itulah nikmat ujian Pencipta. Hadirkan seorang sebagai ujian tatkala yang sama hadirkan seseorang sebagai pembantu.

Kau tahu ?

Itulah nikmat dari ujian. Semoga mereka tersedar dari leka dunia. Doa diiringi senantiasa.

Wednesday, July 17, 2013

Dahulu


Dahulu,
Suaranya pernah dilaungkan di muka bumi ini untuk menyeru sekalian.

Dahulu,
Hujahnya pernah menjadi pembakar semangat kepada manusia.

Dahulu,
Kalamnya pernah menjadi peringatan kepada mereka.

Dahulu,
Tubuhnya pernah mengetuai mendirikan kewajipan.

Dahulu,
Bacaannya pernah diikuti makmumnya.

Dahulu,
Tangannya pernah menghalang kesesatan perbuatan insan yang lupa.

Dahulu,
Hatinya pernah sekental batu di lautan.

Dahulu,
Pengikutnya pernah berdiri dibelakangnya membawa amanah yang hebat.

Itulah dahulu.

Dia pernah jatuh,dahulu.
Dia pernah bangkit,dahulu.
Dia pernah hebat,dahulu.

Kesal yang tidak sudah-2. Tewas di medan perang setelah mendapat latihan yang hebat. Entah kenapa. Masih bertanya. Adakah iman yang lemah atau nafsu yang kuat ? Tunduk. Matanya tajam merenung zaman kegemilangannya dahulu.

"Kenapa aku jadi begini ?"

Kakinya lemah melangkah bahkan hendak menarik nafas juga tidak terdaya. Ilmu yang dimiliki hilang begitu sahaja. Mungkin kerana tidak diamalnya. Itulah kelemahannya. Mudah leka dengan ujian duniawi.

"Kau dah berubah. Dahulu kau lain. Sekarang ?"

Kata-2 sahabatnya yang pernah bersamanya sewaktu kegemilangannya. Terbit rasa kesedaran di situ. Cuba untuk mengingat kembali.

Ya,aku sudah lama menghilang. Entah ke mana. Mengejarkan kemewahan dunia sedangkan akhirat berada di depan mata,mati menunggu di depan pintu,masa pergi begitu sahaja. Cuba untuk melangkah setapak ke hadapan kini sukar.

"Sesungguhnya Pencipta mengasihi orang-2 yang memperbaiki amalannya"

Semoga sinar Ramadhan ini memberi nafas baru untuknya. Kembalikan dirinya yang hilang. Cuba untuk memperbaiki amalannya tapi tidak mengubah dirinya yang asal. Aku masih lagi seorang kawan yang setia.Seorang kawan yang boleh dibawa berduka mahupun gembira. Tapi masih seorang hamba yang mendekati Pencipta. Mengejar keredhaan Pencipta.

Dia bangkit dan melangkah tanpa menoleh kebelakang. Meninggalkan kenangan yang hitam. Seperti dahulu. Aku menghilang. Jangan risau,aku masih disini,masih yang kau kenal dahulu.

Andai aku mengejar dunia dan meninggalkan akhirat,tepuk bahu aku dan katakan,
"Mati menunggu di hadapan"

Andai tiba waktunya,izinkan pujangga bersujud ke lantai agar terang cahaya malam. Menadah tangan tanda syukur. Menjadi tetamu di malam yang nikmat. Ameen.

Alhamdulillah.

Monday, July 15, 2013

Tidak bertulang,tapi sakit.


Kerana mulut badan binasa.
Kerana mulut kita bersaudara.

Maka pilihlah yang terbaik. Lidah itulah benda paling tajam di dunia. Benar kata Imam Al Ghazali.

Jaga bicara itu sukar. Mulut tidak dapat dikawal. Bukan mudah. Lidah yang tak bertulang itu cukup hebat sehinggakan dapat memutuskan tali persaudaraan.

Mulut ini yang menghina.
Mulut ini yang mengumpat.
Mulut ini yang mengata.

Aku cuba menjaga tapi hati ini tidak hebat. Senang berasa tidak puas dengan sesuatu. Senang hendak melemparkan kata-2 yang hina. Bila insan yang lemah melakukan kesilapan mereka dihina dan dilemparkan dengan kata-2 yang tidak bermujawadah. Terasa.

"Kau nak tahu tak,dia tu kan blablablabla. Tak suka aku dengan perangai dia tu"

Mudah mulut melancangkan kata-2 dusta. Mengumpat. Pandang cermin nampak wajah sendiri. Takpe. Semua pernah mengumpat. Walaupun sedikit. Tunduk. Itulah yang cuba dia elakkan. Berkata sesuatu yang buruk mengenai pihak lain.

Tapi kenapa ?

Soalan yang terbit di fikiran semua. Kenapa perlu mengumpat. Bukan hanya mengatakan kaum hawa tapi kaum adam juga terlibat sama. Itulah hakikatnya. Ketidakpuasan yang mendorong manusia melakukan yang sia-2. Tiada pahala bahkan dosa.

Kita tak sempurna.
Kita semua sama.
Kita pernah tersilap.

Kalau benar salah,tunjukkanlah
Kalau benar salah,tegurlah.
Kalau benar salah,jujurlah.

Aku juga tidak terlepas berbuat demikian. Itulah manusia. Tidak berani berkata bertentang muka hanya berlagak hebat di belakang dengan kata-2. Kesudahannya ?

Persaudaraan hancur.
Persahabatan musnah.
Pertalian putus.
Perhubungan hilang.

Ya,hanya dengan kata-2. Cuba untuk mengelak dari mengumpat tapi apabila telinga ini mendakapkan perkataan mengenai seseorang, langkah mula maju untuk ketahui selanjutnya maka perkataan hina terluah dari mulut sang durjana.

Bulan yang mulia.

Basahkan lidah dengan zikir.
Dengarkan telinga dengan zikir.
Ringankan perbuatan dengan zikir.

Zikir mengingati Pencipta. Memang sukar tapi itulah caranya.

"Yang sukar itulah manisnya, Yang mudah itulah pahitnya. Ikutlah iman"

Pujangga tidaklah sempurna. Arjuna tidak sekata. Tapi masih boleh mencuba. Elak dan menjauhi. Berkatalah mengenai sesuatu yang baik. Itu lebih mulia. Kita sama. Insan yang tidak pernah lupa melakukan kesilapan.

Kalau lidah itu membunuh,hati itulah mangsanya. Berdarah tidak kelihatan,luka tiadalah kesan. Tapi tetap ada disitu. Kalam yang manis membuahkan hasil yang indah. Pilihlah yang jauhari.

Manis bicara,
Indah tutur kata,
Manis khalimah mengikat ukhuwah.

Saturday, July 13, 2013

Tikaman


Renungan yang cukup panjang. Bukan hiba atau sedih tapi sedikit kesal terselit dihatinya. Kesal yang tidak berkesudahan. Hati sayu. Cuba untuk melarakan hatinya untuk lebih dekat dengan Pencipta. Tapi,semakin cuba,semakin jauh. Begitu hina. Terdiam. Tunduk malu.

"Adakah ibadah aku selama ini diterima ?"

Persoalan yang tiada jawapannya. Itulah rahsia Sang Pencipta. Dalam aku hendak lebih mengenali dan mendalami,tatkala itu rimbunan jatuh bercucuran. Ujian. Tidak sehebat mana tapi iman di jiwa masih lemah.

Aku tidaklah sempurna.
Aku masih pendosa.
Aku masih seorang hamba.

Bulan yang mulia. Kalam Pencipta bahawa Syaitan durjana dibelengu untuk seketika. Sepatutnya tiada lagi bisikan yang lintas di telinga mahupun hati tapi kenapa masih wujud. Aku cuba untuk melawannya. Hati terdetik.

"Syaitan dah dibelenggu tapi kenapa masih hati ini was-2 ?"

Khusyuk. 
Aku tidaklah sehebat kekasih Pencipta mahupun sahabat-sahabatnya. Mengenangkan mereka yang cukup hebat dan khusyuk dalam ibadah mereka. Dia tertunduk malu. Sedangkan aku ? Perbuatan melakukannya tapi hati entah ke mana. Tidak sampai ke Pencipta. Sedangkan mereka sehinggakan menitiskan airmata.

Wahai insan yang lupa. Inilah ujian hati. Syaitan diikat tapi nafsu masih terlepas. Badan berdiri tegak menunaikan tiang agama tapi fikiran melayang memikirkan dunia. Bacaan indah kalam Pencipta tapi hati memikirkan yang lain. Tunduk. Malu.

Kenapa ?
Kenapa ?
Kenapa ?

Dan bagaimana ? Mungkin hati ini telah mati atau masih hidup. Tidak mengerti. 

Nasihat yang diberi diendahkan.
Dakwah yang disampaikan diabaikan.
Pengajaran yang diajar dibiarkan.

Baginda yang sempurna hatta menangis ketika menunaikannya sedangkan diri ini kosong menghadapi Pencipta ?

"Maka berjayalah orang-2 yang beriman. Orang yang khusyuk dalam menunaikan solat"

Hati tertikam. Tertusuk. Luka dan berdarah. "Adakah aku di kalangan yang berjaya ?". Kejayaan yang aku miliki ini bukanlah hakiki. Bukanlah kekal. Hanya sementara. Alhamdulillah. Masih jauh perjalanan hidup.

Andainya aku idamkan syurga,dekatkanlah neraka.
Andainya aku idamkan dunia,dekatkanlah kematian.
Andainya aku idamkan harta,dekatkanlah kemiskinan.

Bukan sombong mahupun takbur tapi untuk sentiasa ingat diri ini hanya insan yang lupa. Mendambakan sesuatu yang diluar jangkaan sedangkan masih jauh untuk dimiliki. Cuba untuk ikhlas.

Aku cuba untuk khusyuk tapi tewas. Mungkin kerana dosa yang masih di dada. Tidak rela. Sepatutnya peluang ini aku manfaatkan untuk merawat hati yang hitam ini. Hati ini cuba menjerit tapi tidak terluah. Menangis. Bukan kerana lemah tapi kerana sedih memikirkan diri ini.

"Wahai Pencipta,Kau lah yang berhak diatas sekaliannya. Rahsia kebesaran yang tiada tandingannya. Ikhlaskan hati ini,khusyukkan jiwa ini,tawadukkan diri ini dalam beribadah kepada Kau. Sesungguhnya aku hanyalah insan yang asalnya lupa"

Ameen. Itulah doa bersama.  

Alhamdulillah penantian dianugerahkan dengan nikmat. Masih rendah diri walaupun dipuji dan dihina.

Friday, July 12, 2013

Kenal diri


Cuba untuk merebahkan tubuhnya seketika. Penat. Melihatkan karenah manusia yang tiada hentinya. Pelbagai ragamnya. Bulan yang mulia tapi masih tidak dapat menghayatinya. Kenapa ? Tepuklah dada tanya diri. Pujangga yang berdiri hanya memerhati. Jarang sekali diamnya sendiri. Pasti ada bicaranya untuk menghiburkan hati. Dalam sedang ria,wujudnya hiba.

"Aku ni ketua kau. Kau kena dengar cakap aku. Kau tu kuli je. Aku suruh kau buat je lah. Jangan nak banyak tanya !"

Dia hanya menunduk. Aku tahu dalam hatinya ingin sekali menunjukkan ketidakbenaran yang ditunjukkan riak wajahnya. Dia ingin memberontak. Tapi dia hanya tersenyum. Itulah kehebatannya. Sabar selagi mampu. Dia sedar kedudukannya. Bukan lemah.

Siapakah kau ?
Apakah kau ?
Hebatkah kau ?

Pangkat. Itulah yang menjadi idaman manusia. Dan itu jugak yang menghancurkan manusia.

Kerana pangkat kau riak.
Kerana pangkat kau takbur.
Kerana pangkat kau sombong.

Besar sangat ke pangkat yang kau miliki ?

Mampukah kau turunkan hujan di langit ? 
Mampukah kau pisahkan air di lautan ?
Mampukah kau menjadikan malam dan siang ?

Dah tu ? Kenapa kau nak berlagak sombong ? Tunduk. Rendahkan pandangan. Jagalah percakapan. Mulut itu senjata yang paling hebat. Tapi jangan jadikan ianya senjata untuk bermusuhan tapi jadikan ianya senjata untuk peroleh kejayaan. Doa. Itulah senjata kita.

Wahai pemilik kalam yang hina. Puaskah kau menghina diri yang setaraf dengan kau. Pangkat hanya didunia. Kita tetap sama. Masih lagi hamba kepada Pencipta.

"Kalau nikmat yang kau dapat menjadikan kau lupa bersyukur,maka itulah ujiannya"

Muhasabah. Tidak berbangga dengan apa yang ada. Aku syukur dengan sedia ada. Walaupun aku hanya biasa,aku hanya meminta kemuliaan daripada Pencipta. Itu sahaja. Biarlah hina pada manusia. Siapakah aku untuk memilih sedangkan Dia tahu mana yang terbaik.

Mungkin kau berpangkat. Dan mungkin kau ada hak. Tapi kau tidak perlu lakukannya di khalayak ramai. Kau buka aib orang,suatu hari akan terbuka aib kau pula. Jangan menyombong kalau kau masih berpijak di bumi yang sama dengan orang lain pijak. Kita masih sama.

Wahai pemilik kalam yang hina,sungguh takburnya kau membiaskan kata-2. Hubungan sesama manusia yang tidak pernah dijaga. Sedarlah. Aku cuba untuk menegur tapi tidak diendahkan. Tiada upaya untuk aku melainkan doa untuk kau.

Hatinya terdetik mengenangkan kesilapan lalunya. Tidak salah untuk bermuhasabah. Tapi pernah dilakukan. Pernah hanyut suatu dulu. Kadang-2 hatinya berkata kata.

"Layakkah aku menasihati seseorang sedangkan aku juga pendosa ?"

Tunduk ke lantai. Menguis. Masih banyak yang perlu dilalui. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Aku masih lagi yang hina. Dosa setinggi gunung,pahala setitis air yang dibawa untuk berhadapan dengan Pencipta. Moga bila tiba masanya,Iman dan Islam masih didada sebagai tanda kesetiaan dan kehambaan kepada Pencipta. Masih dalam penghijrahannya.

Hormat. Itulah penawar bagi pangkat. Kalau saling menghormati,pangkat yang meninggi tidak susah untuk dipikul malah disukai semua. Tidak susah untuk menghormati orang lain. Senyum. Nasihat. Begitulah yang terbaik. Rendahkan diri.

Fahami maksud yang tersirat. Pasti akan rasa nikmat.

Monday, July 8, 2013

Langkah



Hati menangis. Cuba untuk mempertahankannya. Langkah terhenti cuba untuk meneruskannya. Semoga hati tabah menempuhinya. Tidak rasa kecewa cuma pernah sedikit terluka.

"Ayuh semangat,bangkitlah !"

Kini tiba masanya. Lafaz dan segala pujian kepada Pencipta tidak terhingga. Mungkin ini yang pertama,mungkin ini yang terakhir. Kita hanya manusia,tidak mengertinya. Bila dan dimana,kita hanya menunggu. Tapi yang pasti itu akan terjadi.

Sesuatu yang dinanti.
Sesuati yang berkat.
Sesuatu yang hikmah.

Selamat datang Ramadhan Al Mubarak. Bulan yang dinantikan segelintir insan. Segelintir. Mungkin selebihnya tidak. Tepuk dada tanya iman. Kalau datangnya membawa rahmat,bersyukurlah. Kalau datangnya membawa kesusahan kepada kamu,bertaubatlah. Pencipta memberikan bulan yang mulia ini kepada kita.

Rimba sakti hilang dilautan. Halkan tidak cekap berenang. Perlahan rusuknya menekan dada tapi masih disitu. Riak kemanusiaan tidak muncul. Sayu pandangannya. Cuba melepaskan diri. Belum tiba masanya. Datang sebuah cahaya menghampirinya. Sedarnya. Terbaring bertemu seorang manusia.

Alhamdulillah.

Pencipta tahu apa yang kamu perlukan. Begitu juga Ramadhan. Manfaatkanlah. Hijrahlah. Setahun cuma sekali,sekali hanya sebulan. Tidak lama. Cuba memujuk si hawa,iman kacak berkuasa.

Disinilah hendak melatihnya.
Disinilah pusat latihannya.
Disinilah ujiannya.

Bukan untuk melemahkan,tapi untuk menguatkan iman. Masih setia.

Balaslah pagimu dengan syukur.
Balaslah malammu dengan syukur.

Basahkan lidahmu dengan mengingati Pencipta.
Lembutkan perbuatanmu dengan bersedekah.
Tahanlah nafsumu dengan iman.

Perlahan lahan. Pejamkan mata. Rasai ketenangannya. Alhamdulillah. Kini tiba masanya untuk mengorak langkah. Aku inginkan permulaan semula. Tanpa dibayangi yang lalu. Kalau dahulu aku pernah hebat kenapa tidak sekarang. Cuba untuk bertanya dalam diri.

Dia masih dalam dirinya. Kali ini lebih semangat untuk melangkah. Pergerakan menuju kehadapan. Bukan membuang kau jauh dari ingatan. Cukuplah sekadar berkawan. Aku kau perlukan dahulu tapi tidak kini. Rahsia hati telah terungkai. Mungkin tiada apa-2.

Maafkan aku,aku tidak berniat.
Maafkan aku,aku tidak ingat.
Maafkan aku,aku tidak hebat.

Inilah yang aku cari. Keredhaan. Kau datang sebagai ujian. Aku terlupa. Sudah terhantuk baru kini aku sedar dalam lalainya yang Pencipta menguji hati ini. Agak kelewatan. Tapi masih belum terlambat. Pangkal nafas masih didada untuk mengubah segalanya.

"Aku yang kau perlukan dahulu,disaat susah aku dipuji. Aku yang kau hinakan selepas itu,disaat senang aku dimaki"

Jagalah bicaramu. Aku yang menghina. Dia yang terdiam. Moga keberkatan menyebelahi. Moga kemaafan diselangi.

Aku dah kembali.
Jangan risau,ini semua dugaan. Yang datang kini adalah masa. Yang lepas dahulu adalah masa. Jadi biarlah masa yang membetulkannya. Masih terbiar untuk diperbaiki. Boleh. Satu persatu,perlahan lahan.

Hatinya menikam. Sang Pujangga mencabut tikaman yang tertusuk itu dengan tangannya sendiri. Bangkit dan melangkah. Itulah pergerakan semula. Tidak menoleh,berlalu begitu sahaja. Tiada ucapan mahupun kata-2. Hanya bayangan.

Terima kasih. Moga beristiqamah.

Ahlan wasahlan Ya Ramadhan Mubaraqah. Barakallahhufiq. Syukran Ya Rabb.


Sunday, July 7, 2013

Belum lagi


Cahaya bulan masih terang menerangi kehidupan di bumi. Walaupun cahayanya tidak seterang mentari yang menerangi siangnya tapi keindahan alam yang seimbang itu menunjukkan kekuasaan dan kehebatan Pencipta. Alhamdulillah masih bernafas dikala malam dan siang hari.

"Untunglah pandai kan. Aku ni bodoh je."

Berkerut dahinya bila kalam begitu dilontarkan. Adakah itu kalam hina atau kalam pujian ? Masih menjadi tanda tanya.

Kalau ianya satu hinaan,aku redha.
Kalau ianya satu pujian,aku syukur.

Tapi tidak pernah hati ini hendak menyombong mahupun menunjuk mengenai pemberian daripada Pencipta. Pujangga sedar itu hanya satu pinjaman yang sementara. Tinggikan gunung,masih lagi tinggi awan di langit tapi masih tetap kalah dengan ketinggian langit. Begitulah lumrah setia menantikan himpunan rimba.

Bukannya aku meminta.
Bukannya aku berbangga.
Bukannya aku menduga.

Itulah rezeki daripada Pencipta. Tiada yang hebat melainkan pemberian daripada Nya. Biduan setia,kalam puisi tidak berperi,katakan pujangga manis bicara. Bukan hendak menduga,tapi begitu balasannya.

Rakyat yang setia dijanjikan pemimpin yang hebat.
Hamba yang setia dijanjikan syurga yang indah.
Penuntut yang setia dijanjikan kejayaan yang megah.

"Usaha pasti membuahkan kejayaan"

Jangan kau katakan begitu kawan. Kita semua sama. Ciptaan makhluk yang paling sempurna bahkan kita sebaik baik ciptaan. Tiada yang bodoh mahupun hina melainkan syirik kepada Pencipta. Kejayaan yang diterima mungkin satu nikmat dan mungkin juga satu ujian. Tidak semestinya bumi dihujani sekian,kadangkala mentari ganti menyinarinya pula.

"Harini hari aku,esok lusa hari kau"

Bakat. Kurniaan Pencipta yang hebat. Kejayaan bukan sahaja akedemik. Bukan. Bukalah mata.

Tanpa tukang masak,bagaimanalah kita.
Tanpa tukang sapu,bagaimanalah dunia.
Tanpa tukang jahit,bagaimanalah manusia.

Mereka bukanlah memerlukan akademik yang tinggi tapi bakat yang ada pada dalam diri. Setiap satunya memberi manfaat kepada yang lain. Begitulah kehidupan. Pencipta memberikan apa yang kita perlu,dan bukan tidak kepada kehendak cuma tidak masanya lagi. Mungkin suatu hari. Sabarlah.

Kalau aku kurang,kau tambahkan.
Kalau aku salah,kau betulkan.
Kalau aku jatuh,kau angkatkan.

Kita saling melengkapi. Alhamdulillah atas kurnian.

Kejayaan di dunia tidak bererti kalau gagal di akhirat kelak. Dunia kita kendong,akhirat kita junjung. Mendongak ke langit,sedangkan masih berpijak dibumi maka jatuh terkendong tidak berguna malah hina yang terasa. Lihat langit masih tiada mentari,sedangkan masih disitu. Disebalik pandangan.

Rahsia hati tidak semua boleh dikongsi. Luahkan pada yang setia mendengarnya. Tidak semudah untuk lafaz pada kata-2. Jangan risau. Pencipta Maha Mendengar.

Janganlah kau kecewa.
Syukur.

Friday, July 5, 2013

Lafaz


Senyum. Nafas panjang ditariknya. Masih bertemankan khalimah "Alhamdulillah" sebagai penyeri dan permulaan harinya. Syukur. Nikmat iman dan islam yang masih sedia menenmani hari-2 nya. Bukan bergembira tapi begitulah dia. Setiap insan berpandangan berbeza. Namun tidak ada yang serupa.

Kerana mulut badan binasa.

Begitulah yang sering diperkatakan. Pujangga melarakan hatinya. Bukan kerana berduka,tapi kerana hubungannya sesama manusia.

Dia dianggap hina.
Dia dianggap dusta.
Dia dianggap durjana.

Bukan. Begitulah teriak batinnya untuk menangkis cemuhan dan menongkah kebenaran. Aku juga manusia yang tidak pernah leka dan alpa melakukan kesilapan. Kadangkala,mulut ini terlalu biasa. Terlalu lancang tanpa disedari hati purnama sekalian terluka. Hatinya sebak.

Aku pernah bersalah.
Aku pernah berdosa.
Aku pernah tersilap.

"Maafkan aku. Aku juga seorang manusia."

Dalam diamnya terfikir. "Mahukah mereka memaafkan kesalahanku ?"

Rahsia yang sentiasa menjadi tanda tanya. Kemaafan. Adakah ikhlas nian hati kalian memaafkan seorang insan ? Ya,seorang insan yang sedang membetulkan hubungannya sesama manusia. Meminta maaf. Tangan yang terbuka lebih mulia membandingkan hati yang terbuka. Tidak susah. Cuba bermuhasabah dengan diri ini. Aku juga terasa. Seperti manusia yang berperasaan.

"Jagalah hubungan sesama Pencipta,dan jagalah hubungan sesama manusia"

Sudahkah kita terlupa ? Terlupa tentang hubungan silaturrahim yang pernah dijalinkan dahulu. Jangan kerana perihal duniawi yang kecil aku berdendam. Cuba untuk menoreh tangan yang gemalai menukilkan kata-2 sedangkan hati ini sentiasa berdendam. Aku akui,dendam itu masih disini. Masih di hati. Namun,jujur hati ini telah memaafkan segalanya.

Bukan kerana lemah,tapi kerana sunnah.
Bukan kerana kecewa,tapi itulah hakikatnya.
Bukan kerana sesiapa,tapi begitulah permintaannya.

Cuba untuk menjadi pemaaf seperti baginda. Tidak pernah marah walau dihina. Tidak pernah berdendam walau berduka. Tersentuh hatinya apabila orang yang hebat mampu memaafkan yang tiada ini kan yang tiada hebat dan mulianya tidak mampu. Dendam dalam diri masih lagi membara namun iman cuba memadamkannya.

Lilin kehidupan tidak lama. Mungkin lepas ini atau mungkin hari seterusnya pergi begitu sahaja. Lafaz yang sukar itu tidak terbiasa di lidah tapi hasilnya amat bertuah. Lafazkanlah wahai sekalian. Tidak sukar. Tidak berbayar. Dan balaslah lafaz itu dengan lafaz kemaafan yang ikhlas. Juga tidak sukar malah mendatangkan erti kebahagiaan.

Kerana dendam,jatuhnya pemerintah.
Kerana dendam,hilangnya sahabat.
Kerana dendam,putusnya saudara.

Jasad tak sentiasa milik kita. Bila tiba masanya,kita perlu pulangkan kepada Pencipta. Dengan sebatang lilin mampu menerangi kegelapan. Sebatang lilin itu juga kalau dipersiakan kegelapan terus berkuasa. Gunalah lilin itu. Jangan biarkan dia habis tanpa sebarang manfaat darinya. Lilin kehidupan. Tidak lama. Kita hanya meminjam.

"Maafkan aku. Aku terluka dengan kalam hina kau. Tapi aku cuba untuk meminta maaf. Bodohkah aku ? Tidak. Aku minta maaf."

Tiada lagi prasangka yang tinggal hanyalah perasaan lega. Alhamdulillah.

Thursday, July 4, 2013

Sangkaan


Langkahnya masih lemah. Masih lagi diuji. Tidak kuat untuknya meneruskan langkahnya. Dia tahu ujian itu bukanlah untuk melemahkannya tapi untuk menguatkannya. Dia bukanlah hebat,dia bukanlah bijak. Hanya insan biasa yang sama seperti kalian yang lain. Ujian hati yang tidak mampu dicantasnya,yang tidak mampu ditangkisnya.

"Aku kenal kau lah. Tak payah nak bajet alim dengan aku pula. Kau buat hal kau,aku buat hal aku !"

Sedikit tersentap hatinya. Luka yang terguris masih lagi berdarah. Ya,pedangnya yang menghiris tuannya sendiri. Kenapa ?

Mungkin kerana kesilapan lalunya. 
Mungkin kerana lemah pemiliknya.
Mungkin kerana itulah ujiannya.

Insan yang setia menantikan dan mendambakan keampunan Pencipta. Sentiasa. Biarpun dia begitu,dia masih lagi disitu. Dia masih lagi seorang kawan yang kau kenal dahulu. Ya,tiada ubahnya. Aku masih yang lama. Masih berdiri di atas bumi yang sama. Mungkin aku berubah tapi itu masih aku.

Aku masih kawan yang setia.
Aku masih kawan yang ceria.
Aku masih kawan yang berduka.

Kalau katanya menjadikan kau jijik,kau hinalah dia. Itulah kekuatan yang kau miliki. Mulut. Hinalah dia yang cuba untuk membawa kau kembali ke kemudinya. Kerana kesilapan lalunya,kau masih menghina. Kerana perbuatannya,kau terus berkata.

Kalau kau memilih rupa,aku TIADA.
Kalau kau memilih harta,aku TIADA.
Kalau kau memilih ilmu,aku TIADA.

Pujangga hanyalah insan biasa. Masih tidak sempurna. Sama seperti insan biasa. Tidak setaraf untuk memperkatakan yang tiada. Pedang yang dibawa masih lagi tumpul. Tidak mampu untuk membalas serangan musuhnya. Hanya mampu untuk bertahan. Mungkin suatu hari pedang itu bercerai menghunus luka. Mungkin suatu hari dia akan kembali ke istananya.

Janganlah kerana masa silamnya kau terus menghina. Bantulah dia kawan. Sokonglah dia kawan. Hijrahnya masih belum sempurna. Kata-2 nya masih belum berkuasa. Masih disitu. Ya,memang susah untuk berprasangka baik. Husnudzon. Memang sukar tapi masih mampu untuk melakukannya. Iman masih disitu,tepuk dada dan katakan "Hai iman,anda bagaimana?"

Janganlah kecewa. Pencipta sentiasa bersama.

Monday, July 1, 2013

Begitulah sebabnya


Masih disitu. Berdiri kaku menantikan sesuatu. Ya, sesuatu yang sudah lama diimpikannya. Keluhan pernah terluah dimulutnya,putus asa pernah wujud di dalam kemelut hatinya. Rasa kecewa. Bukan kerana sesiapa tapi kerana keinginan yang tidak dipenuhi. Wajahnya memandang ke langit biru menyaksikan kekuasaan Pencipta. Dia tersenyum.

"Setiap yang Kau cipta banyak tersirat yang masih lagi aku tidak mengerti. Kau Maha Bijaksana"

Bukan terlalu meminta.
Bukan terlalu cerewet.
Bukan terlalu tamak.

Aku bersyukur dengan sekalian yang aku miliki. Tapi inilah lumrah manusia dan aku juga manusia. Manusia yang tidak pernah kenal erti puas. 

Tamak menjadi raja.
Rakus menjadi harta.
Nafsu menjulang takhta.

Dalam diri yang hina,masih wujud satu titik tempat yang masih tidak merasai kepuasan. Pencipta tidak pernah menolak rintihan hamba-2 Nya. Dan aku masih tetap meminta. Dan aku masih tetap menantikan. Ya,kehendak yang masih dimiliki oleh setiap manusia.

Kehendak dan kemahuan. Sifat yang tidak pernah terlepas dari cengkaman manusia. 

Aku berkehendak kan ini.
Aku berkehendak kan itu.

Tapi,Pencipta tidak memenuhi kehendak kita. Bukan sekarang,mungkin suatu hari. Dia berikan apa yang lebih kita perlukan. Dia ketahui mana yang terbaik untuk sekaliannya.

Kita kehendakkan seseorang untuk disayangi,Dia berikan kita seseorang untuk membenci.
Kita kehendakkan seseorang untuk mendampingi,Dia berikan kita seseorang kehilangan.
Kita kehendakkan sesuatu untuk dipenuhi,Dia berikan kita sesuatu yang lain pula.

"Kenapa ? Kenapa ? Kenapa ?" Begitulah jeritan batinnya. Persoalan menjadi tanda tanya. Kecewa menjadi santapannya. Kekeliruan menjadi pertamanya.

Nafas panjang dihirup sedikit demi sedikit dilepaskannya. Hatinya tenang. Wajahnya suram.

"Tidak dijadikan sesuatu itu tanpa asbabnye. Pencipta mengetahui mana keperluan yang utama dan bukan kehendak nafsu yang durjana"

Kemahuan yang asal dari nafsu.
Kemahuan yang asal dari tamak.
Kemahuan yang asal dari bisikan syaitan.

Lantas Pencipta melindunginya dengan memberi apa yang lebih kita perlu. Untuk menjaga imannya. Tapi,pernahkah lafaz syukur itu terluah mendahului keluh kesah ? Muhasabah diri. Larakan hati. Renungkan kembali. Fikirkan sejenak. Tidak berkata,hanya berdetik.

"Apa lagi yang kau mahukan dari Aku ? Tidak cukup lagi kah langit dan bumi yang Aku ciptakan ?"

Tidak salah meminta. Tidak salah memohon. Cuma jangan pernah kecewa. Teruskan berusaha. Kemahuan dan keperluan itu sesuatu yang jelas berbeza penggunaannya. Pencipta sentiasa menantikan permintaan dari hambanya. Doa itu merupakan jalan komnikasinya,Al-Quran itu merupakan balas jawapan dari Pencipta. Jika kemahuan mendahului keperluan,maka sudah lari abjad dan mahrajnya,sudah lari silat dan seninya.

Mungkin bukan sekarang,tapi suatu hari nanti akan diperkenankan. Sabar adalah jawapannya.