Sunday, February 2, 2014

Sebuah penceritaan


Serba sedikit menjadikan kekuatan.
Serba sedikit menjadikan kelemahan.

Madah berkata melewati sang pria yang duduk kesepian di suatu sudut. Terlihat seakan hebat orangnya. Ingin sekali menegur lalu dibiarkan pergi. Anak matanya cuba memerhati pula disebuah sudut yang lain pula. Dia bangkit dari istirehatnya. Membawa bekalan yang sedikit meneruskan perjalanan.

Qhalaf meneruskan perjalanan. Dalam perjalanannya,bahu Qhalaf ditepuk. Dia menoleh.

"Sejahtera ke atas kamu saudara." kata seorang pemuda yang menepuk bahu Qhalaf sebentar tadi.

"Sejahtera juga ke atas kamu saudara" balas Qhalaf dengan senyuman.

Dalam hati Qhalaf terdetik seribu pertanyaan namun riak wajah itu disembunyikan. Berpakaian celoreng,kotor. Tangannya hitam akibat minyak hitam barangkali. Seluarnya yang agak sedikit koyak. Rambut yang kusut masai. Susuk tubuh yang agak kurus sedikit.

"Bolehkah kau tolong aku ?" pemuda itu menghentikan sangkaan Qhalaf seketika.

"Apa yang boleh aku tolong ?" Qhalaf berkata dengan agak sedikit curiga.

Lantas pemuda itu terus berjalan tanpa sebarang perkataan. Qhalaf mula merasa hairan. Sangkaan terus bermain dimindanya tanpa henti.

"Adakah orang ini gila ?" terdetik di hati Qhalaf.

Qhalaf yang berpakaian agak sedikit kemas. Baju berkolar dan disematkan kedalam seluar jeans itu menjadi pilihannya. Rambutnya yang tersusun rapi menyerlahkan kedudukannya. Namun,dia tidak bangga dengan semuanya. Apa yang dicari masih lagi mencari.

"Ke mana kita nak pergi ni ?" tanya pula Qhalaf kepada pemuda tersebut.

"Marilah kita ke istana" jawab pemuda tersebut tanpa memandang wajah Qhalaf.

Qhalaf semakin curiga.
Qhalaf semakin hairan.

Namun dia percaya akan Pencipta. Ketentuan takdirnya bertemu dengan pemuda ini dalam perjalanannya. Ada sesuatu disebalik pemuda ini yang masih dicurigai. Yang masih tersembunyi. Wajah pemuda itu ada serinya walaupun pakaiannya sebegitu.

"Kenapa kita berhenti ?" Qhalaf bertanya kepada si pemuda.

"Aku berhenti kerana aku penat." balas pemuda itu.

"Penat ? Tapi bukankah kita baru sahaja berjalan malah tidak sampai 100 meter lagi. Takpelah mari kita berehat di tepi dahulu." kata Qhalaf.

Lalu pemuda itu menoleh ke belakang. Senyuman terukir di wajahnya. Dia mendekati Qhalaf dan menepuk bahu Qhalaf.

"Inilah kehidupan. Baru sahaja bermula sebuah perjalanan sudah mengeluh kepenatan sedangkan destinasi masih berada dihadapan" terang pemuda itu.

Qhalaf agak sedikit bingung dengan kata-2 tersebut. Dia masih berdiam dan setia mendengar.

"Wahai saudara,kenapa kau berhenti apabila aku berhenti sedangkan aku menyatakan bahwa kita ingin ke istana ? Tidakkah kau patotnya menyuruh aku agar menyegerakan langkah aku. Dan aku berkata penat sedangkan langkah baru sahaja bermula tapi kau tidak menyarankan aku untuk teruskan melangkah sedangkan kau tahu tujuan kita adalah istana" madah si pemuda.

"Inilah penghijrahan. Istana itu syurga. Janganlah sesekali berhenti dari melangkah ingin mencapainya. Kau baru sahaja bermula. Maka kekalkanlah langkah ini. Istiqomah. Namun,dalam mendekati istana jangan pula kau tergesa gesa. Aku tahu kau sedang mencari sesuatu. Bersabarlah. Ini baru sahaja permulaan" tambah pemuda itu lagi.

"Tapi bagaimana kau tahu aku baru sahaja bermula ?" Qhalaf bertanya.

"Aku juga seperti kau dahulu. Aku juga pernah bemula suatu ketika dahulu. Beginilah aku. Terpinga pinga. Tetapi,aku berhenti kerana kelemahan iman sendiri. Aku berhenti kerana kebodohan diri. Aku abaikan nikmat yang diberikan. Aku mengabaikan tanggungjawab yang diberikan kerana harta. Dan akhirnya aku begini" jelas pemuda itu.

"Apa yang telah kau lakukan wahai pemuda ?" Qhalaf bertanya.

"Aku jahil dalam melakukan keputusan" balas pemuda itu dengan nada perlahan dan memalingkan wajahnya.

Qhalaf semakin pelik. Bingung dengan keadaan.

"Aku memilih dunia berbanding akhirat. Itulah kesilapan aku lakukan. Jadi aku ingin kongsikan. Hidayah ini telah kau miliki. Jangan kau persiakan. Peluang ini jangan kau abaikan. Teruskan hijrah kau ini." pemuda itu berkata dengan keyakinan.

"Tapi aku baru sahaja bermula. Aku masih lagi mencari. Aku masih mentah" Qhalaf berkata

"Dalam perjalanan kau nanti kau akan lebih matang. Ujian yang datang akan membuatkan kau lebih berfikir. Cuma ingat,jangan sesekali berhenti kerna ujian. Jangan sesekali berhenti kerana kegagalan. Lakukan keputusan." tegas pemuda itu.

"Tapi bagaimana aku ingin tahu jika aku melakukan kesilapan ?" Qhalaf terus bertanya.

"Suatu hari kau akan tahu. Hanya yakin kepada Pencipta" pemuda itu membalas kata-2 lalu berpusing dan menghilangkan diri.

"Tunggu !" Qhalaf berteriak.

Seluruh badannya berpeluh. Kepalanya sedikit bingung. Seakan realiti. Tapi ianya telah berulang kali. Qhalaf memandang pada jamnya. Baru sahaja pukul 3 pagi. Qhalaf terbangkit dari alam lenanya. Dia tidak menjangka mimpi yang diulangnya berturut turut mengejarnya. Adakah ini petunjuk ?

Qhalaf menyambung tidurnya.


No comments:

Post a Comment